Friday 27 May 2011

[ . . . Kaca Jernih . . . ]

Kaki dilangkah satu per satu anak tangga. Pintu dikuak. Sejuk. Kaki melangkah terus ke hujung bangunan. Kaca jernih itu sedang menanti. Gadis kecil itu tersenyum lalu diletakkan beg berisi komputer riba di atas meja kecil. Terus berdiri sambil menyapa kaca jernih berbingkai antik. Masih ramai di luar, ke sana ke mari. Ada yang berkemeja segak, ada bersahaja. Berbaju kurung warna lembut, tak kurang juga yang memilih blouse hari ini.

Merah dan hijau silih berganti, masing-masing cuba bersembunyi dari si kuning. Kenderaan yang diketuk menjadi pelbagai bentuk dan rupa masih gah meluncur melepasi taman permainan warna tadi. Senyap. Gadis kecil leka menonton tanpa suara. Lagak menonton lakonan si Kelabu, Charlie.

Masa berlalu, gadis itu terus berdiri. Kaki yang lenguh minta untuk berehat tidak diendahkan. Masih leka memerhati gelagat makhluk berakal berselerakan. Sepasang mata itu tertancap pada salah satu makhluk berkaki dua, cuba melintasi laluan itu.

Aneh, mukanya seperti sedang dirundung masalah. Di pagi hari yang indah ini? Kasihan, andai mampu ku menolong. Gadis itu bermonolog sambil jasadnya disandarkan pada dinding batu. Masih kukuh biarpun bangunan itu selayaknya menjadi tapak warisan negeri kecil itu.

Sekilas, hilang sesusuk tubuh itu. Gadis itu kembali berdiri tegak dan berlalu ke ruangan hadapan. Bertegur sapa, bergurau senda. Semena, masuk seorang asing, berpakaian sederhana tapi tidak melambangkan dia berurusan rasmi di sini.

Wajah itu. Menangkap seraut wajah yang baru dikenali sebentar tadi. Lelaki itu terus meluru ke bahagian kanan, tempat yang menjadi singgahan para pendakwah itu. Bergenang air mata, terhenti degup jantung seketika. Ah, mengapa wajah itu terlalu mengganggu. Ingin tahu si gadis kecil membuak-buak. Beratkah tanggungannya? Sukarkah rintangannya?

Hilangnya dari pandangan meninggalkan kesan di hati gadis itu. Dengan hati yang berat, dia berlalu untuk menjalankan tugas hariannya. Tubuh kecil itu dibawa keluar bangunan, mengiringi pegawai-pegawai. Sambil menunggu, gadis itu memerhati lagi gelagat makhluk berakal di sekelilingnya. Terlihat salah seorang pegawai ketinggalan di belakang, mengunjuk sesuatu kepada manusia di hadapan pintu utama. Dia. Puas dengan kata-kata terakhir, pegawai itu bergegas menghampiri, menjemput para pegawai memperosok diri ke dalam kotak lebar beroda itu. Gadis kecil tidak terkecuali.

Gambar hiasan

Kotak beroda mula bergerak meninggalkan pintu utama. Antik dan kecil, melihatnya umpama kembali ke zaman kezaliman itu. Siapa sangka, bangunan itu berpaling tadah, berbakti pula pada mangsa tuan mereka. Dunia.

Berselisih, walau sekilas jelas terlihat raut wajah yang runsing itu. Masih berbakikah dilema empunya wajah? Sungguh, wajah itu menyayat hati si gadis kecil. Bibir tertutup rapat, bimbang esakan menyusul. Menanti dalam diam ketenangan pulang ke hati.

Tatkala para pegawai terhenti bualan, si gadis kecil bersuara. Dituju ke gegendang telinga pegawai yang satu itu, menagih fakta menghabisi galau di hati.

"Oh, dia saudara baru. Datang mohon pelepasan bekerja untuk sertai program anjuran kita, khas untuk saudara baru."

Fakta disusuli imbauan sejarah ringkas lelaki itu. Masih muda, meraih cinta Ilahi dengan berkat hidayah dari-Nya. Tapi itulah lumrah dunia, yang sedari dulu dijanjikan bersama dugaan dan cabaran meniti jalan yang benar. Berseorangan, menongkah segala halangan. Cuba digagahi walau ke jalan terakhir mempertahan hadiah paling berharga baginya.

Gadis kecil terkesima. Tabahnya dia. Bergenangan air mata, cuba ditahan.

Pegawai itu masih bercerita. Kehadiran lelaki itu di awal hari bersama hasrat yang menggunung tinggi. Tapi, laluan yang tersedia terlalu rumit. Pegawai yang dibebani itu kedengaran sudah penat berkomunikasi dengan lelaki yang berlainan bangsa itu. Gadis kecil terus terdiam, melayang ke alam yang diperintahnya, meninggalkan para pegawai yang berhimpit di kiri kanan.

Begitukah nasib yang menanti mereka yang bergelar saudara? Kepayahan yang dicipta manusia sendiri, yang mampu meraih ketenangan dari raut wajah indah saudaranya sendiri? Terbayang lagi wajah itu. Sugul. Keliru. Berkerut, cuba memahami bahasa asing bangsanya. Mungkinkah itu yang dikatakan pengorbanan bangsa sendiri demi hidayah-Nya? Gadis kecil keliru.

Bukankah pegangan itu mudah dan tidak membebankan? Bukankah kepercayaan itu universal, tidak termaktub untuk bangsa tertentu? Bukankah keimanan itu menjanjikan tangan-tangan persaudaraan yang saling meringankan bebanan? Hati gadis kecil semakin galau.

Andai mampu ku membantu, andai mampu ku bersuara. Tapi garis batasan jelas terpampang. Manusia dan peraturannya. Ligat pemikiran gadis kecil menerewang, cuba mematikan rusuhan perasaan itu. Nah, ku hanya mampu memohon pertolongan dari yang Maha Esa buatmu, saudaraku. Wajah itu, ku pasti kembali jernih. Percayalah pada Sang Ilahi, duhai saudaraku. Jangan pernah kau tinggalkan pemberian teristimewa itu, kerna harta itu yang membahagiakan hidupmu ke akhirnya.

Gadis kecil kembali ke alam nyata. Mengunci sejarah itu di tempat istimewa kerajaannya. Meneruskan hari menanggung beban di pundaknya.


- Azizah Najib -
27/5/11  9:19 pagi

4 comments:

hana_aniz said...

great job!

pengalaman sendiri ye jijah? siyes sgt nice. that makes ur story more interesting and realistic! ;)

Unknown said...

huhu..thanx niza ~

Hans Ismail said...

nice~~ :)

Unknown said...

hee =B

Author Desk

Assalamu'alykum and good days to all readers.
Well, this is the starting of my journey in writing. Of course, I used to write back at school but it's been a while and I'm longing to write. =)
So, hope my short stories that I post in this blog become better day by day with your comments.
Thanx to all for visiting. Enjoy ^_^